Tuesday, May 22, 2012

8months Sofiyya Imtinan

Quick update after long silence...
Mood ilang,tak tau terbang ke mana. Busy & penat. Ni pun lupa anaknda dah enter 8months semalam. Tetiba teringat. Mesti note kat sini. MESTI. Kalo tak nanti lupa.

8months........banyak nampak perkembangan Imtinan..dah besar anak momma..

Perkembangan fizikal :

• Dah boleh berdiri sendiri. Tak payah pegang. Ada tempat boleh memaut,bolehla bangun dengan sendiri. Macam tv kabinet,sofa... (tu jela pun yang ada kat rumah ni)

• merangkak belum betul2 lagi. Takat 4,5 langkah tu paling jauh dia boleh pegi. Nampak mcm tak berapa nak rajin merangkak.

•Gigi belum tumbuh

• Berat dan tinggi belum tau,sebab tak g timbang lagi.

• paling membahagiakan bila dah boleh panggil 'mama'. Kalau nak susu ke, berak ke, asal dia rasa nak mak dia ni dia blh cakap "mama". Lalu papa pun jeles. Sebab Imtinan blh juga sebut "pa-pa".. Tapi sebut tak paham..hahaha.

Perkembangan emosi :

• Makin taknak dengan orang. Langsung2 taknak. Pujuk la camana pun.. Paling kurang amik masa 3,4 hari jgk la baru blh dukung2 dia. Tupun kalau mak pak dia takde..kalau ada depan mata, meraung.

• Makin manja. Tinggal sikit nangis. Nampak mak dia ni bangun je nangis. Bukak baju nangis. Mandi nangis. Pakaikan diapers nangis. Pakai baju nangis. Taktau kenapa. Serius tak tau. Bukan merengek. Tapi menangis & meraung. Kesian...bukan kesian dia,kesian kat mak dia...huhu..

• Suka papa lebih. Asal nampak papa senyum. Asal nampak mama nangis. Pelik. Papa ciku-cak dia ketawa. Mama ciku-cak dia buat donnow je..ape nih Imtinan? Haih... Papa g keje 2 hari, 2 hari la dia tak senyum...serius pelik.

Done. Stress dan penat. Rasa nak tido taknak bangkit....huhu...



- Posted using BlogPress from my iPhone

Saturday, May 5, 2012

Wahai Wanita.....Belajarlah Untuk Tidak Terlalu Sensitif

Assalamualaikum, buat sahabat-sahabat kamarsufi, dan pembaca yg kebetulan tersinggah di sini. Moga2 semuanya dilimpahi rahmat Allah sentiasa.

1. Bila kamu anak dara, dan jodohmu lewat, maka ada yang akan bertanya : " Bila nak kahwin?", "Memilihkah?", " Jadi andartu takde siapa mahu" Anggaplah mereka cuma mengambil berat tentangmu. Atau jika mampu, jawablah : "Kalau jodoh saya datang melamar, insyaAllah saya terima. Lambat tak mengapa asalkan selamat. " Atau jika tidak mampu, berdiamlah dan berdoa semoga Allah campakkan kesedaran di hati mereka. Mudah-mudahan juga Allah sediakan untukmu jodoh yang soleh.

2. Bila kamu anak dara dan jodohmu terlalu awal datangnya, maka akan ada yg berkata : " Belum habis belajar dah nak kahwin? Esok belajar tah ke mana, kawin sekerat jalan". Jika mampu jawablah : "Mudah-mudahan berkat perkahwinan ini. Bukankah gadis yang bernikah muda itu berkat?" Jika tidak mampu, berdiam dan berdoalah, mudah-mudahan Allah menjaga pengajian dan perkahwinanmu kerana keduanya urusan yg mulia di sisi Allah.

3. Bila kamu sudah berkahwin, tetapi belum berjaya peroleh zuriat, maka akan ada yg bertanya : " Keturunan kamu memang payah lekat ke?", "Keturunanmu jenis rahim lemah mungkin", "kami baka subur, semua beranak ramai". Jika ada kemampuan, jawablah : "Entah,belum rezeki kami lagi. Sesuai masa dan ketikanya, bila Allah berkata "kun", insyaAllah adalah rezeki kami". Jika tidak mampu, berdiam sahaja atau berdoalah mudah-mudahan Allah kurniakanmu zuriat paling soleh, bila tiba masanya, kerana ini juga termasuk urusan Allah.

4. Bila kamu punya suami yg baik, maka akan ada yang berkata : " Jaga-jaga, lelaki baik di depan, senyap2 makan luar" , atau " Jangan percaya sangat, nampak aje baik tu, belakang kita akal panjang." Jika mampu jawablah, "Insya Allah tidak apa-apa, bila suami keluar bekerja, Allah sedang jaga dia. Jika kita sangka baik pada Allah, baiklah yg kita dapat. Jika buruk sangka kita, buruklah kita dapat." Atau jika tidak mampu, berdiamlah dan berdoalah mudah-mudahan Allah terus memelihara iman suami dan menjaga kerukunan rumahtangga.

5. Bila kamu punya kerjaya yg bagus, tetapi memilih untuk berhenti demi tanggungjawab untuk anak dan suami, maka akan ada yang berkata : " Bodohlah tinggalkan kerja dah bagus. Peluang datang hanya sekali", atau mungkin "sekarang suami tengah sayang bolehla bergantung itu ini, esok suami cari lain, kamu juga terlopong takde apa2," atau mungkin "org lain pun ada anak ada laki juga, boleh aje kerja,kau ni lembik sangat." Jika kamu punya kemampuan, jawablah : "Menguruskan suami dan mendidik anak itu tanggungjawab WAJIB yg akn disoal di akhirat. Sedangkan sebagai wanita saya tidak akn ditanya oleh Allah kenapa saya tidak keluar berkhidmat kepada majikan. Saya takut saya gagal dlm keduanya. Biarlah saya ambil jalan ini ; membajai anak-anak saya dgn ilmu agama sesungguh hati, agar saya tidak tergagap di depan Allah". Tetapi andai tidak mampu, maka berdiam dan berdoalah mudah-mudahan Allah menjadikanmu wanita yang istiqamah dlm setiap pilihanmu. Moga-moga juga Allah tetapkan keikhlasanmu.

6. Bila kamu sebagai wanita berkerjaya, tetapi tidak tahu bergaya, tidak pandai beraksesorikan beg berjenama, atau pakaian mahal, maka akan ada yang berkata ; "Kedekutnya...nak bergaya sedikitpun berkira," atau mungkin " eh, tak terasa ke nak pakai handbag berjenama? Sekurang2nya berila good impression pada yang memandang." Jika punya kekuatan, jawablah : " Alhamdulillah, hingga hari ini Allah masih menjaga nafsu saya. Saya bekerja untuk membantu suami, jadi biarlah saya berjimat cermat untuk masa depan kami." Atau jika tidak mampu, berdiamlah dan terus berdoa agar tidak tergolong di kalangan wanita yang berhias di tempat kerja yang sudah tentunya bukan untuk tatapan suami. Mohon juga Allah tetapkan niat asal kamu bekerja, bukan untuk menunjuk-nunjuk dan bergaya.

7. Bila kamu jadi ibu, pastinya ada yang membandingkan perkembangan bayimu. Akan ada yang berkata : "Eh, sudah 9bulan belum boleh merangkak?", atau " eh...kurusnya, tak bagi makan ye?", atau " wah..tembamnya! Jaga-jaga, obes nanti," Abaikan. Anggap sahaja itu cara orang melayu bertegur sapa dan beramah mesra. Kalau mampu jawablah "Setiap bayi tahap perkembangannya berbeza. Asalkan anak saya sihat, saya syukur pada Allah,". Jika tidak mampu berdiam sahaja. Ini bukan perkara besar, teruslah berdoa mudah-mudahan si anak terus dibawah peliharaan Allah, dikurniakan kesihatan yang baik-baik.

8. Bila kamu sebagai ibu, akan ada yang mempersoalkan cara didikanmu terhadap anak-anak. Mungkin ada yang berkata : "eh, jgn dimanjakan budak tu, nanti kepala kamu dipijaknya," atau "dipukul-pukul dimarah buat apa, budak2 tak tahu apa2,".... Jika benar salah, merendah dirilah : " Entahlah, saya tertekan. Dia agak nakal, tidak tahu bagaimana mengajarnya lagi," atau jika yakin tindakanmu benar katakan : "oh, ini adalah cara didikan terbaik. Saya telah membuat sedikit kajian berdasarkan kitab ini dan buku ini.." Jika tidak mampu berkata, maka berdiamlah. Doakan semoga Allah sentiasa membimbingmu dalam mencorak anak-anak.

9. Bila kamu sebagai ibu, dan anak remajamu tidak beroleh keputusan cemerlang dlm peperiksaan, maka akan ada yang berkata; " hei...kenapa ni, adik beradik yang lain semuanya bagus-bagus," atau mungkin "hantar ke sekolah bagus, tuisyen sana sini, hasilnya begini sahaja?" Jawablah ; "Tidak mengapa, saya redha dengan rezeki anak saya. Cemerlang didunia belum tentu cemerlang di akhirat," tapi andai tidak mampu berdiamlah dan terus berdoa semoga Allah beri kekuatan untuk si anak yang masih berduka disamping beri kesedaran untuk mulut yang berkata-kata.

10. Bila kamu sebagai ibu, dan anakmu lambat mendapat jodoh, maka akan ada yang berkata ; " tunggu menantu duit berkoyan ke?", atau "tunggu menantu anak raja?", atau " jangan disimpan anak dara lama-lama, nanti tak laku," Sebagai ibu, jawablah : " Saya telah mengandung, melahirkan dan membesarkan dia..Mustahil saya merancang yg tidak elok untuk dia. Saya hanya mahu yang baik-baik untuk anak saya. Tetapi perancangan Allah itu jauh lebih baik. Saya yakin,". Atau jika tidak mampu, berdoalah semoga si anak terus tabah menerima sindiran demi sindiran, juga mohonlah agar ditakdirkan yang soleh-soleh sahaja untuk si anak.

Cukuplah sepuluh sahaja.

Letaklah situasi apa pun, wanita yang kuat jiwanya tidak akan berkata-kata melainkan yang memberi manfaat untuk dirinya dan orang lain. Jika tidak, wanita yang jiwanya kuat hanya akan berdiam diri, kerana dia faham tidak semua orang punya kefahaman tentang doa, redha, dan tawakkal.

Campakkan sikap sensitif itu jauh-jauh, bunuh kalau mampu. Jangan dibiar bersarang di hati, nanti bengkak membusuk membuah sifat-sifat keji. Belajarlah untuk bersikap "TIDAK APA"dengan kata-kata. InsyaAllah lukanya takkan lama.

Wallahu a'alam.




- Posted using BlogPress from my iPhone