Tuesday, April 3, 2012

Memupuk Keserasian Antara Suami Isteri

Assalamualaikum pembaca kamarsufi. Mudah-mudahan sentiasa diberkati.

Akhir-akhir ini saya asyik terfikirkan tentang rumahtangga kami,yang agak jauh perbezaannya sebelum dan selepas mempunyai anak. Bahagia dulu lain dengan bahagia sekarang. Romantis dulu lain dengan romantis sekarang. Biarlah,yang penting bahagia dan romantis itu masih ada. Lupakan yang ini.

Kita berbincang tentang serasi. Saya teringat dulu seorang kawan pernah mengeluh tentang sedikit sesal kerana berkahwin di usia muda,sesal kerana setelah 3bulan berkahwin dia sedar yang perkahwinannya sangat membosankan kerana dia dan suami tidak serasi. Saya cuba menasihati,dan katanya "kau takpelah...dapat suami satu kepala..."

Tidak. Saya cuma
menjawab di dalam hati. Saya dan suami banyak bezanya,boleh kata dari segenap hal kami berlainan buah fikiran. Saya sendiri tidak tahu bagaimana memupuk keserasian antara kami.

Ajaibnya hubungan yang dihalalkan Allah ini. Saya sendiri bagaikan tidak percaya perkahwinan kami sudah melebihi angka 3 tahun. Dari tidak tahu apa-apa,sudah pandai merangkak,bertatih,dan berlari! Apa yang ajaibnya? Ajaib kerana saya rasa antara saya dan suami terlalu banyak perbezaanya. Secara matakasar keserasian itu bagai tidak ada. Tapi,ajaibnya kuasa Allah perlahan-lahan dia "menyerasikan" dua hamba yang berbeza minat,cara berfikir, dan seumpamanya ini tanpa disedari dua hamba ini.

1. Berbeza Selera

Ini yang paling ketara. Saya biasa bersarapan dengan nasi goreng,bihun atau mee bersama teh 'o' atau kopi. Sedangkan suami lebih kenyang menghadap roti,bijirin,atau susu. Juga jus dan buah-buahan.

Saya lebih berselera makan nasi bersama ulam,belacan,budu atau tempoyak. Yang pedas-pedas itu serahlah kepada saya. Tapi tidak suami. Yang pedas-pedas itu kalau boleh jangan dimasukkan dalam menu. Yang manis-manis dan lembut rasa itu lebih selesa menjamah tekaknya. Apatah lagi budu,belacan,ikan masin,tempoyak,cencaluk... langsung tidak disentuh!

Tapi...hari ini saya tersedar yg corak pemakanan saya semakin berubah. Suami juga. Dia sudah menjadi penggemar masak tempoyak walaupun pedasnya tetap harus dikurangkan. Saya juga semakin kurang selesa menjamah yang pedas-pedas. Makin hari makin saya sedar "pedas" itu cuma sedap ditekak sahaja,tetapi menyeksa perut. Kesian sang usus! Lama-lama saya jadi sedar bahawa sarapan dengan bijirin&susu , atau menjadikan buah-buahan sebagai kudapan itu jauh lebih sihat berbanding mee,bihun,atau nasi lemak, juga jajan...Akhirnya saya tersenyum sendiri..

2. Berbeza minat.

Saya suka membaca. Saya suka mengumpul buku. Sepanjang di UIA, sebelum diambil sebagai isteri, saya sanggup mengikat perut kerana hendak membeli buku-buku rujukan original yang mencecah ratusan ringgit. "Sebulan Tiga Buku" itu polisi hidup saya sejak dari zaman bersekolah hinggalah ke universiti. Akan tetapi, suami tidak begitu. Satu muka surat sudah cukup untuk mendodoikan dia. Tidak perlu "lullaby song", dia akan lena dengan sendiri. Saya lebih suka membaca, tapi suami lebih suka mendengar.

Hari ini, setelah 3tahun lebih membina perhubungan, saya semakin kurang membaca. Perlahan-lahan saya sedar, membaca bergunung-gunung buku kalau tidak diamal,ilmu itu tidak lekat lama didada,lama-lama hilang juga. Saya belajar dari suami. Dia tidak banyak mengumpul ilmu, tetapi yang sedikit yang dia tahu itu dia amalkan sepenuh jiwa. Saya mendapat satu pengajaran : Ilmu itu di dada bukan di buku. Suami pula, sudah boleh menghabiskan sehelai dua mukasurat artikel. Tidak banyak. Tapi cukuplah. Kesimpulannya, bersederhana.

3. Hiburan berbeza.

Minat kami dalam hiburan adalah berbeza. Suami penggemar nasyid & lagu rancak. Tetapi tidak saya. Lagu-lagu dari Brothers,Raihan,Rabbani,Hijjaz, In-Team, Unic, dan seangkatannya sangat selesa menjadi halwa telinga dia. Sedangkan saya,selain Hijjaz, semuanya tidak kena ditelinga saya. Hanya beberapa nasyid yang kena dengan saya, kerana saya lebih suka lagu-lagu "balada-jiwang karat-tangkap leleh".

Tetapi setelah lebih tiga tahun perkahwinan, saya rasa kami sudah mampu menghafal lirik-lirik lagu kegemaran masing-masing yg akhirnya menjadi "sedap" di telinga masing-masing. Mungkin kerana kereta kami cuma ada satu radio. :-)

4. Movie berbeza.

Kami punya minat terhadap genre movie yang berbeza. Saya penggemar cerita Melayu sedangkan dia peminat cerita matsaleh. Korean movie,cina,thai,hindustan amat jarang masuk ke senarai kami. Dulu saya peminat tegar drama melayu. Di awal-awal perkahwinan kami tidak pernah menonton bersama. Jika waktu suami menonton, saya menemani di sebelah dengan laptop di riba atau buku ditangan. Begitu juga dia.

Tetapi hari ini, kami sudah boleh berkongsi minat yg sama..sama-sama duduk di hadapan tv, tutup lampu, menonton english movie. Kadang-kadang filem melayu. Oh,saya tidak lagi minat dengan drama melayu dek kerana jalan cerita yang sama,perlahan, tidak berkembang, lalu membosankan. Kiranya cuma memilih yg berkualiti sahaja. Ini pengaruh suami :-)

5. Hobi berbeza.

Suami suka berjalan,bercuti dan melancong. Saya tidak. Bagi saya, berjalan itu adalah penat-rimas-panas-melekit-susah-tak selesa. Kesimpulannya duduk di rumah menonton tv sambil menghadap sepinggan snek atau jajan itu lebih membahagiakan. Tapi itu dulu. Sekarang saya sudah seperti dia. Ada sahaja ruang untuk kami berjalan. Tidak jauh dekat pun tak mengapa. Tidak lama sekejap pun jadilah.

Banyak lagi contoh lain rasanya jika saya korek-korek memori ini. Pada saya, "keserasian" antara dua jiwa yang lahir dari dua rahim yang berbeza ini bukan perkara objektif yang boleh dicerita secara A,B, atau C. Selalunya dulu bila ada yg bertanya bagaimana memupuk keserasian dalam rumahtangga,atau kalau ada yang mengadu tidak serasi dengan suami, saya sendiri tumpang buntu untuk membantu. Saya sendiri tidak ada jawapan, kerana pada saya keserasian itu akan datang sendiri seiring dengan kerja Allah. Kita tidak boleh memaksa diri untuk suka sesuatu yang kita tidak suka.

Kunci di sini, saya rasa cuma dua : IKHLAS dan SABAR.

Sabar dengan sesuatu yang kita tidak suka, dan ikhlas mencintai dia,bukan kerana rupa,harta,atau sebab tersembunyi.

Ini cuma buah pandangan saya melalui pengalaman yang secubit ini. Saya masih baru di alam rumahtangga,masih banyak lompong-lompong ilmu yg belum terisi. Masih jauh perjalanan ini. Saya harap semoga Allah jadikan banyak lagi keserasian dalam perhubungan kami dan perhubungan kalian suami isteri.

Wallahu A'lam
Dan Wassalam.


- Posted using BlogPress from my iPhone

4 comments:

  1. keserasian tuh xkn dtg dgn menunggu..klu kite usaha ke arah tu insyaAllah keserasian tu akn wujud..ye IKHLAS n SABAR tu amat pntg + tolak ansur..:)(wawa kiut)

    ReplyDelete
  2. haha...kami brdua pon byk yg brbeda, tp amat mudah menyerasikan antara satu sm lain.Alhmdulillah.stkt ni dipermudahkn sgalanya.dn beliau bkn segarang yg disgka..yg psti kmi sm2 food hunter!! hihi..love~ farhan & farisah~

    ReplyDelete
  3. perbezaan tu yang merapatkan lagi sebenarnya..kalau semuanya sama kan tak best.

    ReplyDelete
  4. google bout kerasian suami isteri and click on ur blog. just the answer i'm looking for. Thanks!

    ReplyDelete