Tuesday, August 17, 2010

~ SURAT UNTUK BABA~

Assalamualaikum Baba.. Sufi doakan Baba sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Ilahi, juga sentiasa diberkati Allah.. Sufi utuskan warkah rindu ini untuk Baba, walau Sufi tahu surat ini tidak akan sampai ke tangan Baba, kerana kita kini telah terpisah jauh..lebih jauh dari jarak antara dua benua..Jauh zahiri..tapi tidak maknawinya, kerana Baba sentiasa dekat di hati Sufi. Kasih sayang dan ilmu yang Baba bekalkan sentiasa melindungi Sufi..

Baba... Hari ini 16 Ogos 2010. Sepuluh tahun sudah kita terpisah oleh ketentuan takdir ini. Aduhai Baba, Sufi rindukan Baba..Rindu yang diiringi sayu dan pilu.. Telah Sufi cuba tanamkan rasa ini jauh ke dasar hati, agar ia tidak tumbuh-tumbuh lagi. Namun benih kasih sayang yang pernah Baba cambahkan ini sangat subur, tuntas ia tumbuh mekar kembali, malah makin mekar dan mekar tanpa perlu Sufi bajai..Lalu maafkan Sufi kiranya airmata rindu ini masih mengalir walau sudah sepuluh tahun kita terpisah..

Baba, andaikata saat dan ketika ini Baba ada di hadapan Sufi, terlalu banyak yang ingin Sufi ungkapkan...

Terima kasih itu adalah lafaz pertama yang telah terpendam lama di hati Sufi. Terima kasih untuk Baba atas segalanya. Terima kasih kerana kesempurnaan didikanmu, dan terima kasih atas kasih sayangmu.. 

Baba..Sufi masih ingat lagi.. latihan pertama Baba adalah Solat.. Hari-hari Sufi tengok Baba solat, mengimamkan Ma dan abang-abang..SUfi pastinya tidak mahu ketinggalan berjemaah sama walaupun Baba tak pernah paksa..Sebab Sufi malu dan rasa terpinggir bila semua qiam di belakang Baba, mengikut setiap gerakan Baba..Sufi juga mahu begitu.. Dan akhirnya, hingga ke hari ini, amalan itu sudah sebati dijiwa Sufi.. Alangkah hikmah cara didikanmu Baba..Terima kasih Baba atas kesempurnaan didikanmu..

Baba..Sufi masih ingat lagi.. kecil-kecil dulu, Baba ajar Sufi mengenal kalimah Allah...sabarnya Baba dan Ma mengajar SUfi bertatih menyebut huruf demi huruf, lalu seterusnya membimbing Sufi menggabungkan huruf-huruf itu, menjadi kalimah demi kalimah yang dihiasi dengan baris. Sufi, ingat lagi, seawal usia 4 tahun, Sufi sudah mengenal huruf-huruf Al-QUran..KAlimah Allah itu menjadi sebati dengan jiwa Sufi..Diulang-ulang baca, hingga akhirnya Sufi khatam Al-QUran diusia 4 tahun.. Waktu itu Sufi tahu Baba bangga. Ibu-ibu di kampung tiidak segan bertandang ke rumah untuk mendengar bacaan Sufi.Walau tiada majlis khatam Al-Quran dengan segala pulut kuning dan jemputan, namun berita anak kecil kampung berusia enam tahun ini khatam Al-QUran deras sekali tersebar.. Alangkah sempurnanya didikanmu Baba..Terima kasih Sufi ucapkan..

Dan..Sufi juga ingat, hadiahnya Baba berikan Sufi kamus Bahasa Arab bergambar.. Sukanya Sufi pada waktu itu. Setiap waktu kamus itulah yang SUfi belek, hingga tercabut helaian-helaiannya..Seminggu sudah cukup untuk Sufi hafal kesemua perkataan itu. Dan, bila Baba pulang dari pejabat, Sufi sudah sedia menunggu, meminta Baba dengar hafazan Sufi.. Sukanya Sufi bila Baba selalu katakan pada Sufi  "Pandainya..."  Itu cukup membakar semangat Sufi menghafaz hari demi hari.. Terima kasih Baba..Terima kasih kerana menjadikan bahasa syurga itu bahasa pertama yang berkembang dalam minda Sufi.. Terima kasih atas kesempurnaan didikanmua Baba..

Dan..Sufi juga ingat, seawal usia 9 tahun, Baba perkenalkan Sufi dengan Nahu, Saraf, dan Balaghah.. Kitab kuning itu Sufi buka dihadapan Baba setiap malam usai isya'..lalu baris demi baris Baba ajar Sufi..hingga Sufi kenal bahasa syurga itu lebih mendalam lagi.. Baba ajarkan juga syair-syair arab yang ritmanya indah sekali.. Terima kasih Baba..Terima kasih atas kesempurnaan didikanmu..

Dan, Sufi ingat lagi, Baba sangat kelakar. Baba seorang ayah yang sangat suka bergurau. Baba tak akan biarkan Sufi tengok TV sorang-sorang..Baba akan sentiasa ada di sebelah SUfi. Baba usik Sufi, Sufi merajuk, dan Baba pujuk. Baba suku geletek Sufi, hingga terjerit-jeritlah anak kecil itu..Dan Baba ketawa..

Dan, disaat SUfi baligh di usia 10 tahun..Baba ajarkan pula SUfi tentang kebersihan diri..tentang taharah, tentang aurat, dan tentang tanggungjawab sebagai hamba, sebagai anak, dan sebagai ummat Muhammad S.A.W...Baba terangkan kepada Sufi, bahawa tanda baligh itu akan membawa perubahan yang besar dalam hidup Sufi. Baba ajarkan kepada Sufi bahawa segala pahala dan dosa kini akan Sufi pikul sendiri. Jadi kata Baba lagi, Sufi harus berhati-hati..pesan Baba, setiap perbuatan itu, fikirkan samada akibatnya dosa atau neraka..Baba terangkan bahawa Sufi kini akan menjadi sunti, yang harus terpelihara aurat dan akhlaknya.. Terima kasih Baba..Terima kasih atas kesempurnaan didikanmu..

Dan..Sufi ingat lagi Baba..Sufi malu bila ada yang mengejek-ngejek nama Sufi..Kawan-kawan sekolah kata nama SUMAYYAH ini pelik..malah ada juga cikgu-cikgu yang kata begitu..ye, kerana putri Baba ini bersekolah kampung, dan bukan sekolah rendah agama swasta yang rata-ratanya tahu tentang sirah sahabiyyah.. SUfi merajuk lagi pada Baba kerana 'hadiahkan' Sufi nama SUMAYYAH..sedang kawan-kawan rata-rata punya nama yang cantik-cantik.. Lalu Baba ceritakan pada Sufi saat kelahiran Sufi..Seorang putri yang lahir ditengah terik matahari, tepat jam 1.05 tengahari 19 November 1985..Baba kisahkan kepada Sufi tentang sejarah Memali, cerita tentang perjuangan ummat Islam di bumi kedah demi mendaulatkan agama hingga syahid..Dan tarikh 19 November 1985 itu adalah tarikh dimana pemimpin ummat Islam pada ketika itu, iaitu Ibrahim Libya gugur syahid.. Dan saat Sufi lahir itulah saat di mana pemimpin pejuang itu gugur menjunjung maruah agama.. Dan, Baba kisahkan tentang perjuangan Sahibah Rasulullah, Sumayyah isteri Yaseer yang menjadi wanita pertama mati syahid..Lalu..Sufi faham, malah Sufi bangga punya nama ini Baba..Terima kasih Baba kerana memeberikan SUfi nama seantik ini..Cerita itu sampai ke hari ini lekat dijiwa SUfi..Alangkah sempurnanya didikan Baba..Putrimu ini rupanya sudah dicorak saat mula dilahirkan lagi..Terima kasih Baba...

Dan, Sufi ingat lagi di usia 12 tahun, bila Sufi dapat 5A UPSR..Baba gembira..tapi Sufi hairan kenapa gembira Baba macam biasa-biasa sahaja.. Bila Sufi di pilih oleh sekolah sebagai pelajar cemerlang akademik dan ko juga Baba seperti biasa-biasa sahaja.. Sufi tak puas hati! Aduhai..berdosanya Sufi..Tapi Baba terangkan lagi kepada Sufi bahawa kejayaan dunia ini bersifat sementara.Baba tidak mahu mengasuh Sufi menjadi hamba ALLAH yang leka dengan nikmat dunia. Kata Baba, boleh bergembira, tetapi jangan sekali-kali kita terlebih gembira. Ya, dan bila Sufi besar, kini Sufi faham apa maksud Baba..Oh ya Baba, cincin yang Baba hadiahkan pada SUfi sempena kejayaan sementara itu masih Sufi simpan..Sufi sayang sangat cincin itu..Terima kasih ye Baba atas hadiah itu..dan terima kasih atas kesempurnaan didikan Baba...

Dan..bila Sufi meningkat usia remaja, Sufi banyak belajar mengenali kehidupan.Baba didik Sufi berdikari..Berulangkali Baba sebutkan pada Sufi yang Baba rasa Baba tidak akan sempat menjaga SUfi hingga Sufi dewasa.Baba rasa yang Baba akan pergi jauh dan terpisah dari Sufi..Baba rasa yang Baba akan tinggalkan Sufi..Dan Baba rasa yang Sufi akan bina hidup dengan berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu menyusahkan sesiapa atau bergantung kepada sesiapa.. Lalu Sufi di hantar tinggal bersama datuk, untuk belajar berjauhan dengan Baba, agar Sufi tidak manja dan tidak lemah andai Baba pergi nanti..

Dan..............................Akhirnya tanggal 16 Ogos 2000, Baba pergi jua.......................
Di saat Sufi di akhir usia 14 tahun, Baba dijemput yang Maha Kuasa..
Tarikh itu, 16 Ogos 2000, tarikh yang mencatat seribu makna buat Sufi..
Tarikh yang membawa perubahan dalam hidup Sufi.
Tarikh di mana Sufi hilang seorang wali.
Tarikh di mana Sufi bergelar yatim.
Aduhai Baba..peritnya saat itu..saat melihat jasad Baba terbujur kaku..
Pedihnya saat mengiringi Baba ke tempat persemadian..
Sufi rasa semua mata memandang simpati pada Sufi..
Sufi tidak suka pandangan simpati itu Baba.
Sufi tidak suka kata-kata berbentuk pujukan itu Baba..
Sufi tidak suka, kerana Sufi tahu Sufi kuat.
Pedih itu Sufi simpan di hati...
Dan, hari-hari duka itu berlalu tanpa ada satu hari pun yang SUfi lupa tentangya..
Ya, peritnya kehilangan itu bekasnya tidak akan pernah hilang Baba..
Saat itu, Sufi tahu Sufi harus kuat, dan Sufi harus matang..
Sukar untuk Sufi lalui kehidupan remaja tanpa Baba, tanpa nasihat-nasihat Baba.
Hingga ada ketikanya Sufi rasa Sufi mahu pergi jauh dari ujian ini..
Memendam rindu yang tak akan tertuani ini sangat perit bagi Sufi Baba...
Sufi rindukan bau tangan Baba yang sentiasa dicalit minyak atar..
Sufi rindukan bacaan ayat-ayat suci Al-QUran Baba..
Sufi rindukan kenangan berbuka puasa dengan Baba..Baba suka Nasi Kerabu kan..hari-hari di bulan puasa mesti ada juadah itu..
Sufi rindukan kenangan berhari raya dengan Baba..
Tapi walau seribu tahun sekalipun Sufi mengimpikan yang ini, ia tidak akan tertunai..itu mustahil..
Kerana itulah peritnya menanggung rindu ini terasa menikam-nikam ke ulu hati..

Dan,Baba...Hari ini, 16 Ogos 2010, genap sepuluh tahun Baba pergi, putri Baba ini sudah menginjak ke usia dewasa..Putri Baba kini sudah jadi seorang isteri kepada lelaki sebaik Mohd Faris Azri..Dia sangat penyayang Baba..Putri Baba ini sudah menjadi seorang menantu...dan bakal juga menjadi seorang ibu..InsyaALLAH...Putri yang waktu Baba tinggalkan dulu berusia 14 tahun, kini sudah berusia 24 tahun..Dan, Putri Baba ini sudah berjaya menggenggam segulung ijazah, malah kini sedang berjuang untuk ijazah ke dua dibidang undang-undang..Walau Baba tidak sempat melihat semua ini, tapi percayalah Baba, semua ini hasil berkat kasih sayang yang Baba berikan, dan hasil berkat kesempurnann didikan Baba dulu..
Walau Baba pergi dulu, tapi baba tinggalkan bekalan ilmu di dada putri Baba ini.. Dan Baba tinggalkan juga kepada Sufi seorang ibu yang penyayang. Baba bekalkan kepada Sufi wali-wali yang bertnaggungjawab, iaitu keempat-empat putramu..Alhamdulillah Baba, semua mereka tidak pernah mengabaikan kebajikan putri tunggal baba ini.Terima kasih Baba kerana mendidik mereka dengan erti tanggungjawab, hingga mereka berjaya mengasuh Sufi sepertimana asuhan Baba..

Baba..Alhamdulillah, setelah Sufi lalui segala keperitan itu, Sufi kini mampu hidup bahagia..Baba tahu tak..anak-anak Baba semuanya baik-baik belaka, kebajikan ibu tidak pernah kami abaikan. Kami berusaha untuk tidak membiarkan ibu mengisi hari-hari tuanya dengan kesepian dan kesunyian. Kami berusaha berikan yang terbaik untuk ibu..Aduhai, alangkah sempurnanya didikan Baba..

Dan, saat kewalian abang-abang akan berpindah kepada suami Sufi, sayunya hati kerana Sufi sentiasa berangan-angan untuk baba ada mewalikan Sufi.. Tapi tidak mengapalah Baba..Sufi kini bahagia..Menantu Baba ini baik orangnya..tidak pernah sekalipun ditinggikan suara bila bercakap dengan Sufi..Baba tahu tak..sekarang baba sudah punya 3 menantu,semuanya baik-baik belaka menghormati Baba dan Ma..Itulah berkat didikan Baba, mendorong kami mencari pasangan hidup berlandaskan agama..Dan, baba sudah punya 4 cucu, bakal bertambah menjadi tujuh tahun hadapan..Rumah peninggalan baba kini sudah meriah kembali..

Oh ya Bab..Sufi ingat lagi pesan Baba.."Anak-anak Ba..walaupun setinggi mana belajar, tersohor macamana pun tapi kalau tak tau baca kitab-kitab arab Baba ni, lebih baik tak payah masuk universiti lah..duduk buat kerja kampung, belajar pondok lagi afdhal.." Kedewasaan Sufi kini telah memahamkan Sufi tentang simbolik kata-kata Baba itu...Sampai ke hari ini Sufi pegang kata-kata Baba ini, dan Sufi sahut cabaran Baba itu.. Baba doakan Sufi supaya sentiasa bermujahadah ye..

Baba..terlalu banyak yang ingin Sufi katakan di sini..tapi kudrat dan upaya membatasi..
Lalu izinkan Sufi simpulkan kesemua ini dalam ungkap kata : "Baba..terima kasih atas kesempurnaan didikanmu.."

6 comments:

  1. al-fatihan untuk baba kak sue...
    menitis air mata saya menbaca warkah ini....smoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan semoga kita tetap istiqamah di jalan yang diredhaiNYA

    ReplyDelete
  2. terima kasih..mudah2an doa kita dimakbulkan ALLAH...

    ReplyDelete
  3. kak su...you are the best!!....

    ReplyDelete
  4. huhuhu.... mengalir air mate.... x bole berenti plak.. huhuhuhu

    ReplyDelete
  5. ala..misha jgn sedey2 ye..doakan utk baba misha juga.. :)

    ReplyDelete